Wednesday, 26 December 2012

" Apa yang berlaku hari ini "

  Isnin dan rona birunya. Setiap Isnin adalah biru , biru yang ada masanya memurungkan dan ada masanya mendamaikan.

  Hari ini Isnin datang lagi.Isnin 24 Disember 2012.Beberapa hari selepas apokalips yang ditunggu-tunggu penduduk dunia. Ha ha ha ha , tertunda lagi apokalips rupanya.

  Lalu Isnin Flo biru melulu.Mungkin , mungkin cuma dia yang sedih kiamat tak jadi.Mungkin cuma fikirannya yang berculang-caling melihat langit masih biru, sebiru Isninnya. Serasanya Flo mahu melihat buminya ini "berehat". Flo tahu buminya ini sudah tua, uzur, kumal dan lusuh dikerjakan penghuninya.Tapi Flo percaya dengan harapan. Dan demi harapan oleh Tuhan..Flo akan cuba terima semuanya.

  Hari ini masih Isnin. Isnin yang biru.Pukul 7 pagi.Flo bangun daripada perbaringannya di sofa. Sudah setengah tahun Flo tidur di sofa berbentuk 'L' itu. Flo tidur di kepala sofa, adiknya tidur  di ekor sofa. Pukul 7 pagi , adiknya masih terkedang di sofa. Resam kanak-kanak semasa cuti sekolah, begitulah.

  Oleh sebab perutnya sudah berdendang, memainkan musik indah pagi Isnin ,Flo terus menuju ke bilik air ,memberus gigi. Selepas itu terus dia menuju ke dapur untuk menyerok. Ditatapnya dalam-dalam bungkusan roti Gardenia itu. "Ah! Dua keping je?" Getus  perutnya yang pasrah.Dibelai perutnya yang lapar itu. "Tak apa, kita menyerok dekat mamak Syed ya?".

  Tudungnya dicapai , "sweater" dipakai, selipar merah disarung dan dia menuju ke kedai mamak berjalan kaki. Flo suka berjalan kaki. Sekurang-kurangnya dapatlah dia membakar kalori sebelum menambah kalori. Flo juga suka selendangnya dipuput angin pagi. Segarnya lain macam. Bagi anak hutan batu yang sudah mangli tetapi masih kurang menyenangi asap dan jerebu, angin pagi yang segar baginya mahal. Dapat juga pagi itu dia melihat seekor tikus berchempera keluar dari longkang dikejar kucing putih. Dapat juga dia melihat seekor anjing terpendap di dalam rumah . Flo jadi sayu. Pasti anjing itu cemburu melihat kucing dan tikus berkejaran sedangkan ia yang lebih gedang cuma mampu terbaring dan terchonggok di dalam sangkar. 

  Simpati Flo tertunda . Dalam kepalanya masih terlengket kemas peristiwa dia dan jirannya pada subuh Ramadhan yang lalu. Pulang dari masjid, mereka berjalan kaki . Dan tak semena-mena , seekor anjing muncul dari pekat subuh hampir menyerang mereka. Flo dan jirannya menjerit. Sungguhpun mereka tahu subuh-subuh seperti itu siapa saja yang akan bangun dari lena membantu mereka, mereka masih menjerit. Dan tidak semena-mena lagi , keluar pula dari pekat subuh seorang perempuan India menghalau anjing itu. Tidak berfikiran yang bukan-bukan , Flo dan jirannya yang masih terkapa-kapa berlari pulang ke rumah. Mahu sekali dia berterima kasih tetapi siapa perempuan itu juga dia tidak tahu. Sehingga ke hari ini, identiti perempuan India itu masih menjadi rahsia subuh 10 malam terakhir Ramadhan 1434 Hijrah..

  Simpati Flo disambung kembali. "Dangkal!" Bisik Flo pada dirinya. Dangkal. Kenapa perlu dia membenci anjing cuma kerana satu peristiwa itu? Sedangkan ia binatang, akal pun tiada. Flo menghela nafas panjang. Sungguhpun begitu, gerohnya kerana peristiwa pada subuh itu masih belum hilang.Lamunan panjang Flo terhenti dan dia meneruskan langkahnya." Geletaaaang ! geletung!drrrrrrrr !" bunyi dari tapak pembinaan berdekatan. Sekali lagi Flo menghela nafas panjang. Direnungnya tiang konkrit setinggi 5 tingkat itu. Dulu di situ ada lombong, airnya jernih , ada orang memancing dan di situlah Flo melepaskan dua ekor kura-kuranya. Dulu di situ semuanya hijau, yang batu cuma bangku cabuk dan kini lihatlah dunia! Pokok-pokok yang dulunya merendang ditutuh semua. Di sekeliling lombong itu dibina banglo-banglo tiga tingkat ,kondominium dan yang kini sedang dibina ialah sebuah kompleks membeli-belah. 

  Pekannya kini sudah jadi bandar.Apa Flo harus bersyukur atau berduka? Kadangkala Flo terfikir, apa perlunya kompleks membeli-belah sampai empat lima dalam satu kawasan? Pastinya nafsu yang hendak dijamu. Berbedak-bedaklah anak muda dan "shopaholics" Puchong ke kelima-lima kompleks membeli-belah itu. Semua ini amatlah penting agar pekannya ini kelihatan moden. Demi itu, nafsu perlu dijamu dan yang tinggal cuma pohon-pohon pasang siap.

   Sampai juga dia di kedai mamak yang ingin dituju. Flo penat,kepalanya jadi berat usai meranduki kenangan di sepanjang jalan tadi. Lantas dipesannya teh tarik dan roti kosong pada seorang pelayan tua yang berkemeja oren. Lasam sudah bajunya. Sementara menunggu , dia rasanya seperti mahu merabut satu-satu semua kertas tisu di hadapannya. Makanan pun sampai dan pada sekali tegukan teh tarik yang hangat mendidih itu ,semua keresahannya hilang .-TAMAT-

  

                     





Monday, 24 December 2012

Bab 11 hingga bab 16





    • Tabuh- Gendang raya / alat untuk memalu bunyi-bunyian.
    • Mengirik- Memijak-mijak padi untuk meleraikan buah daripada tangkainya.
    • Tetuang - Sejenis suling daripada buluh yang ditiup untuk memberikan alamat / corong  pembesar suara.
    • Charok - Parit
    • Ditutuh - Ditebang kesemuanya
    • Pulur - Isi atau bahagian lembut dalam batang tumbuh-tumbuhan.
    • Berkapuk- Berdakap / peluk
    • Terkapa-kapa - Kebingungan / terpinga-pinga
    • Berkunca-kunca - Ukuran isi padi sebanyak 160 gantang / berkas besar(padi dan jerami)
    • Mangli - Kalis / menjadi kebiasaan
    • Berchonggok - Berdiri atau duduk dengan postur yang tegak
    • Kumal - Renyuk / kotor / lusuh

Friday, 21 December 2012

Bab 5 -bab 10

~Puput - 1) Hembusan (angin) 
                2) Bunyi-bunyian yang
                    ditiup
~Lengket - Lekat, lekap, rekat

~Chabok - 1) Pekung
                   2) Sejenis penyakit
                   3) Buruk, tidak berguna
~Rabut -  Cabut, renggut , ragut

~medak- Persis bau ikan yang busuk

~Lasam- 1) Usang
                2) Sejenis kain batik
             
~Randok- Mengharungi(air atau rumput,dll)
              

Wednesday, 19 December 2012

Pelajaran 1

 Ranjau Sa-panjang Jalan


Bab 1:
  • Bonggok- Tanah yang sedikit tinggi
  • Terchetok- Duduk bersantai
  • Jemboran-  Beranda
  • Di-bedak2- Dibahagi-bahagikan
  • Kilir- Batu mengasah parang 
  • Menerong-  Sejenis rumput yang tumbuh dalam sawah
  • Nade- Bubu ikan
  • Berchempera- Kelam kabut
  • Antan- Anak lesung

Bab 2:

  • Laksa-laksa -Berpuluh-puluh ribu
  • Menyerok- Sarapan
  • Pendap- Terkurung
  • Terkedang- Terbaring mengunjur

Bab 3 :

  • Memanggau - *
  • Geroh - Kesan bahana / trauma

Bab 4 :

  • Berchulang-chaleng - Tidak keruan/ tidak tentu arah
  • naleh- Ukuran beras sebanyak 16 gantang

* Maksud tak ditemui