Saturday, 2 March 2013

Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Bandaraya 2.0

Tiada yang aneh pada hari itu
cuma sebatang beringin tua yang terbunuh
tiada siapa yang berhenti 
tiada siapa yang meratapi
tiada gagak berhenti berkicau
tiada debu berhenti mengapung
di pinggir bandaraya itu.


Di pinggir bandaraya itu,
damai ialah kelabu
apungan debu-debu nan menyesakkan dada
bukan hijau
bukan beringin tua
Terik mentari ditabir pencakar angkasa
bukan rimbun dedaunan
bukan beringin tua.

Kala kemajuan adalah pembunuhan ciptaan Tuhan
yang maju adalah nafsu duniawi
gelas kosong..
yang tak akan penuh diisi.

Maka terbunuh jugalah beringin tua itu
demi sebuah kemajuan nafsu.





Friday, 1 March 2013

Pak Utih 3.0

Telah kubaca roman perih hidup Pak Utih
seorang lelaki tua di pinggir desa
Roman-roman serupa dengan mereka
yang direnggut hak-nya sekian lama.

Yang selesa berjemawa kerana emas dan harta
yang tidur beralaskan jasad rakyat biasa
khabarkan padaku wahai saudara
bila 'kan berakhir ini semua?

Demi kita, saudara
jangan kau meratkan roman Pak Utih dalam jiwamu
bangkitlah kita
untuk kita
demi kita.