"Papp!" Man menampar nyamuk yang mengganggu lamunannya dengan desingan-desingan yang bingit.Kebiasaannya pada waktu sebegini dia sedang edan melayari mimpi bersama Idah. Namun pada malam yang likat dengan kegelitaan ini, dia pilih untuk duduk di sini, di pinggir sebuah jalan raya. Lebih tepat lagi,dia sedang duduk di sebuah perhentian bas yang sepi.
Malam ini, Man pilih untuk bersunyi dengan masalahnya."Aku tak boleh lari lagi.." Ditekupnya muka dengan seluruh jemari.
Cebisan perbualan itu hadir lagi. Dengan kencang, ia menabrak cepu fikiran Man.
"Ala ayah, bukan apa pun. Dulu ayah pun macam ni kan?Tiada bezanya!"
Dada Man berombak terus. Lontaran kata dari anak bujangnya itu begitu tajam terasa. Dari minggu lalu, babak perbualan itu seperti ditayangkan berkali-kali dalam kepalanya.
Dalam-dalam dia menahan nafas. Sepenuh jiwa juga dilepaskan. Man mengatup pelupuk matanya rapat-rapat . Serta merta bayangan Adi muncul.
Setiap kali dia menatap wajah Adi, nyeri dirasakan hingga ke tulang putih. Adi, adalah cermin yang membiaskan sebuah sosok yang terperangkap dalam kejahilan. Adi, adalah biasan dirinya semasa muda. Adi, anaknya itu bagaikan mewarisi segala sisi gelapnya.
"Adi!! Arghhhhh!" Jerit Man.
Kala kekusutan begini, dia hanya tahu mencari seorang manusia, Raouf. Terus dirogoh poket seluar pendeknya untuk mencari telefon bimbit. Punat panggilan ditekan. Raouf menjawab panggilannya. Man terus memecut laju ke rumah Raouf.
Setelah sampai,kunci dalam sakunya dicapai. Raouf sudah terlalu akrab dengan dirinya. Lebih akrab berbanding ahli keluarganya sendiri. Lebih akrab dengan dirinya berbanding Idah dan Adi.
Raouf duduk di ruang tamu."Masih memikirkan Adi?" Raouf bertanya. Sebatang sigar dinyalakan. Asap karbon monoksida memenuhi segenap ruangan.
"Apalah yang kau risaukan tentang si Adi tu? Takut dia menjadi seperti kau?"
"Elokkah kalau dia menjadi seperti aku?
"Heh, apa yang salahnya? Kau kan kaya-raya sekarang."
"Kaya-raya itu satu hal.Aku..emm mahu dia jadi orang baik-baik."
Raouf ketawa berdekah-dekah. Dekahan yang bercampur dengan asap sigar itu membuatkan Raouf terbatuk-batuk. "Kesian, muda-muda dah buang tebiat." Raouf ketawa semahu-mahunya.
"Kenapa ketawa?? Salahkah seorang bapa mengharapkan yang terbaik buat anaknya? Anehkah itu?"
"Tiada yang aneh tentang itu. Yang anehnya, kau sedar atau tidak kau itu siapa? Dah berapa tahun perniagaan ini kita bina. Tokan besar.Hehh, polis pun tak berani usik. Kau lupa?"
Man terdiam lantas menjawab."Aku tahu tu. Tapi kau juga perlu tahu bukan aku yang pilih jalan ini. Aku terdesak!
"Terdesak? Sebagaimana terdesaknya engkau membunuh Saliha kerana diupah ?"
Man diam membisu. Sesal terasa bertimpa-timpa kerana memilih untuk berbincang dengan Raouf.
"Apa perlu kau ungkit kisah itu? Dah 17 tahun perkara itu berlalu. Adi juga sudah besar. Aku tidak membuang atau mengabaikan Adi. Bahkan hidupnya kini senang. Salahkah aku bersikap zalim? Aku buat kerana wang. Kerana ingin membesarkan Adi. Niat aku murni" Sepenuh perasaan Man meluahkan segalanya.
"Ha ha ha, niat tak menghalalkan cara. Gila. Kita yang mendesak diri sendiri untuk memilih jalan ini. Sudahlah, akui saja."
Sepertinya Man sudah kehabisan kata untuk berbicara. Egonya tidak lagi mampu menguasai lidah untuk berpencak kata. Segalanya benar belaka. Man aneh dengan dirinya sendiri. Masalah ini pada perkiraannya tidaklah besar. Dia bukannya lelaki yang lemah diagah masalah. Semuanya telah Man lalui. Kali ini dia kalah kerana sayangkan Adi. Dia tak mahu Adi menjadi dirinya yang dulu mahupun sekarang. Adi..anaknya itu seharusnya memenuhi cita-citanya semasa kecil. Jadi orang mulia. Dia tidak berpeluang melakukan itu.
"Aku balik dulu, thanks." Raouf cuma memandang Man yang berlalu pergi. Dengan sigap, Raouf mencapai telefon bimbitnya. Punat panggilan ditekan. "Sekarang."
Man berjalan ke arah keretanya. Aneh juga mengapa tadinya Raouf meminta dia memarkir kereta sedikit jauh dari rumah teresnya. Fikiran Man sudah cukup terganggu untuk bertanya lebih-lebih, jadi dia pilih untuk menghiraukan persoalan itu.
Dia menghidupkan enjin. Serta-merta ruang keretanya dipenuhi asap.
"Eh apa ni?" Dadanya terasa sesak. Dari cermin belakang dia terlihat Adi. "Adi?" Matanya terasa kabur. Nadinya terhenti. Dalam masa kurang tiga minit, nyawa Man direnggut kepulan gas-gas hidrogen sulfida.
Adi tersenyum puas. Dari belakang, Raouf ketawa menyeringai.
"Cepat benar kau buat kerja. Bagus."
"Heh,biasalah uncle, bapa borek anak rintik." Jawab Adi.
Raouf juga puas. Perniagaan juta-juta yang dikongsi dengan Man menjadi miliknya seorang. Raouf dan Adi berjalan bersama menuju ke rumah Raouf.
"Uncle tak rasa bersalah membunuh ayah ? Dia benar-benar mempercayai uncle. Uncle dah tipu dia."
"Heh, kau dengar sini ya Adi, hidup perlu menipu untuk hidup. Aku dah beri peluang untuk dia jadi kaya. Kini, masa aku untuk menikmati semua. Hah kau pulak ,tak rasa bersalah bunuh bapak sendiri?"
"Haha, untuk apa rasa bersalah? Dia bunuh ibu kandung saya. Membesarkan saya dengan wang yang jijik. Salahkah saya bersikap zalim?"
"Kau kental sungguh Adi. Kau tahu, aku ada semasa Man menembak Saliha. Aku jugalah yang menanam mayatnya. Eh, tapi aku tak bunuh dia. Man yang bunuh. Zalim ayah kau tu. Sanggup bunuh adik sendiri."
Suasana sepi. Mereka telah tiba di rumah Raouf. Raouf membuka pagar rumah yang berkunci.
"Uncle?"
"Hah, kenapa? Baliklah.Tugas kau dah selesai. Duit aku dah bank-in."
"Uncle tak rasa diri uncle zalim?"
Raouf terasa dingin. Dia memandang ke belakang. Matanya terbelalak.
"TAM!" Cuma satu das. Tepat dibidik ke jantung. Raouf rebah.
"Akhhh kau zalim!" Adi ketawa menyeringai. Kali ini dia benar-benar rasa seperti adiwira. Semua yang berlaku zalim terhadap dirinya telah mati.
Cuma seorang masih terlepas, dirinya sendiri. Pistol diletakkan di kepala. "Zalim." Dia tersenyum. Picu ditarik..TAMM!!!
Tembakan dilepaskan. Adi mati tanpa sesalan. Tiada seorang pun yang terlepas.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment