Wednesday, 4 December 2013

Bintang

Terhiaslah hamparan dadamu yang gelita
Dengan gugus-gugus cahaya
Mengkhabarkan berita;
Bahawasanya nanti
Akan ada titis-titis rahmat
Mendakap resahku erat
Mendodoikan aku berlagu merdu
Berbisik halus ke telingaku
"Duhai 'nusia, hitung untungmu.."

Gelandang tua

Terbaring lesu tubuhmu di pinggir jalan raya
Dipandang jelek dari ekor mata
Diseranah mereka yang berlalu-lalang
Yang harapannya telah lama mati telah lama hilang
Terhadapmu, gelandang tua.

Ada genangan
Yang tertiris dari mata
Ada tanya
Yang kering keringatnya
Merungkai jawapan tentang dirimu
Duhai gelandang tua ,
Apa kisahmu?

Kulihat engkau selalu berjalan
Berkaki ayam dalam khayalan
Meneguk air hamis yang menghujani jiwamu
Dengan satu kebebasan
dalam ruang realiti yang sempit.

Siapa dirimu sebelumnya?
Adakah engkau seorang ayah
yang pernah membanting tulang siang malam,
Untuk menyara anak-anakmu 
Ketika mereka masih menghargaimu?
Atau adakah engkau cebis-cebis sampah
yang dari lama dulu
mencemarkan setiap insan yang hadir dalam hidupmu?

Setiap kali aku lalu di situ,
Cahaya pagi masih lagi menyinar bumi
Dan aku lihat engkau masih beradu
Lalu ke arahnya aku berdoa
Semoga peraduanmu abadi
Melenyapkan penyesalan,
Melenyapkan penyiksaan,
yang berumah di jiwamu.

Duhai gelandang tua,
Beradulah selena-lenanya
Akan kukenang dirimu
Dalam puisi-puisi rekaanku
Tentang ceritera hidupmu.


Balada terbunuhnya beringin tua di pinggir bandaraya 3.0

Beringin tua itu,
Berdekad sudah berdiri teguh
Dedaunannya telah lama gugur semua
Dahannya rapuh dipatah duga cuaca

Namun tiada tertunduk ia menyembah bumi,
Walau direnggut darinya harapan untuk terus menghijau
Memutikkan bunga dan bebuah manis
Di bawah langit ini,
Tetap ia berdiri
Ditopang jutaan akar berbudi
Yang terkambus dari cahaya
Namun membara juang hidupnya.

Terletak di dahannya sebuah pengharapan
Yang hanya tinggal satu bersangkutan
Harapan dititip akar-akar bumi
Dipesan agar terus tabah berdiri.

Dilepas pandangnya ke sebuah kejauhan
Segalanya kabur berkabus pandangan
Tidak terlihat hari muka nan bercahaya
Sedarlah ia akan dirinya,
Cuma beringin tua yang menanti diganti
teduhan-teduhan batu beralaf baru yang lebih dirai
Perginya ia tidak akan ditangisi
Perginya ia tidak akan dikenangi!

Maka terbunuhlah beringin pada hari itu,
Bersama kegemilangan hari-hari lalu
Terbunuhlah beringin pada hari itu
Di tangan-tangan penentu itu.












Monday, 2 December 2013

Hujan

Melimpahnya engkau dari awanan gebu,
Ada waktunya berlagu romantis
Memudik kenangan ke hilir ingatan
Hanyutkan aku dalam lubuk kerinduan.

Pada waktu-waktu rusuhan,
Berapi semangatmu dalam kedinginan
Manusia berlari mencari teduhan
Pepohon redha menjadi panahan.

Sesungguhnya engkau itu benar bersungguh,
Dengan peri berahimu
Medan ini bukan wayang-wayangan
Ada yang menyelami indah pekerti
Ada yang cuma basah dihujani.

Saratnya engkau dengan estetika
Menyerlah citra ciptaan milik-Nya
Bersyukur aku dengan budimu
Membasahi bumi menyubur tanah
Membasahi jiwa menyubur rasa.

Bulan

Malam ini,
Aku datang menjengukmu
Dengan jiwa yang sarat rasa
Dengan mata ditabiri kaca
Menunggu pecah bila waktunya.

Berhari-hari kutunggu labuhnya senja
Menanti waktu untuk berbicara
Namun tetap saja engkau bersembunyi
Hanyutlah aku dalam dini sepi.

Bulan,
Berkelana dirimu tidak mungkin lama
Namun sinarmu tetap kurindu
Kembalilah
Terangi malam gelita dengan cahaya jelita
Suluhkan ia ke langit jiwaku.

Pulanglah,
Di balik teduhan batu
'kan tunggu dirimu.

errrr Rindu ( Terilham dari sajak irama rindu- A Samad Said)

Berhembus dirimu bayu utara,
Tiap rembang hangat siang
Tiap remang malam beku
Terbias siksa-mu pada pesan merindu
Disiat rakus hasrat nan satu.

Aku jua berperang di sini
Melerai kelopak mawar pengharapan
Menghitung perang jiwa tak bersisa satu
Kalbu dan akal tetap enggan menyatu.

Engkau bayu utara
Sapaanmu kusambut mesra dalam jaga
Namun kenangilah duhai sang bayu,
Jangan diturut darah mudamu!

Serahkan saja pada genggam-Nya
Pemilik segala cinta dan cita
Andai tertulis tinta bersatu
Gemerlap langit bintang beribu
Tidak 'kan sirna sinar matamu.

Sajak Hari Lahir ( Buat Zarina)

Mekarnya engkau sebagai perawan
Bersama nian sebuah keharuman
Datangnya dari murni pekerti
Datangnya dari ikhlas nurani

Duhai sahabat,
selalu kurenungkan ke dalam diri
Mengapa segala keluh sudi saja engkau dengari
Mengapa di setiap khilaf selalu wujud ruang maaf
Mengapa di setiap luka segera saja engkau merawatnya

Lelah aku mencipta tanya 
Menyoal budi mencecah mega
Tunduklah aku memandang bumi
Akur kepada takdir ilahi,

Bahawasanya tak akan bertemu kita sebagai sahabat,
tanpa tersiratnya berbagai hikmat.

Bahawasanya tak akan tertulis sajak hari lahir ini
Kalau bukan untuk dirimu,
sahabat sejati.

Tetap mekarlah engkau sahabatku,
Menjadi kesuma menyebarkan harum
Kudoakan segala cita menjadi nyata
Genggaman impian 'kan menjadi kenyataan.

Mekarlah sahabatku menjadi pencinta,
Semoga wangilah dalam cinta-Nya.

Pasung

Kau memasung kakiku
Pada sebuah ketentuan,
Aku jauh dari menentukan
Bumi mana yang patut ditimpa hujan.

Kau menghembus halus deruan darahku
Saat tidurku yang aman
Demi menitip pesan,
Yang dulu tercerai
Mampu dicantum sebuah harapan.

Kau jualah yang menjadi hantu,
Memomokkan aku dengan anak kecil yang dibelenggu
Yang mati terdampar pada sebuah harapan
Yang di sini aku mampu gapaikan.

Dan kerana Kau jualah,
Aku depakan tangan
Menerima panas dan hujan
Dengan sebuah hikmat,
"Aku dibelenggu untuk melepaskan belenggu".


Tuesday, 30 April 2013

Cerpen :Zalim

  "Papp!" Man menampar nyamuk yang mengganggu lamunannya dengan desingan-desingan yang bingit.Kebiasaannya pada waktu sebegini dia sedang edan melayari mimpi bersama Idah. Namun pada malam yang likat dengan kegelitaan ini, dia pilih untuk duduk di sini, di pinggir sebuah jalan raya. Lebih tepat lagi,dia sedang duduk di sebuah perhentian bas yang sepi.

  Malam ini, Man pilih untuk bersunyi dengan masalahnya."Aku tak boleh lari lagi.." Ditekupnya muka dengan seluruh jemari.

 Cebisan perbualan itu hadir lagi. Dengan kencang, ia menabrak cepu fikiran Man.

"Ala ayah, bukan apa pun. Dulu ayah pun macam ni kan?Tiada bezanya!"
Dada Man berombak terus. Lontaran kata dari anak bujangnya itu begitu tajam terasa. Dari minggu lalu, babak perbualan itu seperti ditayangkan berkali-kali dalam kepalanya.

 Dalam-dalam dia menahan nafas. Sepenuh jiwa juga dilepaskan. Man mengatup pelupuk matanya rapat-rapat . Serta merta bayangan Adi muncul.

 Setiap kali dia menatap wajah Adi, nyeri dirasakan hingga ke tulang putih. Adi, adalah cermin yang membiaskan sebuah sosok yang terperangkap dalam kejahilan. Adi, adalah biasan dirinya semasa muda. Adi, anaknya itu bagaikan mewarisi segala sisi gelapnya.
"Adi!! Arghhhhh!" Jerit Man. 

 Kala kekusutan begini, dia hanya tahu mencari seorang manusia, Raouf. Terus dirogoh poket seluar pendeknya untuk mencari telefon bimbit. Punat panggilan ditekan. Raouf menjawab panggilannya. Man terus memecut laju ke rumah Raouf.

 Setelah sampai,kunci dalam sakunya dicapai. Raouf sudah terlalu akrab dengan dirinya. Lebih akrab berbanding ahli keluarganya sendiri. Lebih akrab dengan dirinya berbanding Idah dan Adi.

  Raouf duduk di ruang tamu."Masih memikirkan Adi?" Raouf bertanya. Sebatang sigar dinyalakan. Asap karbon monoksida memenuhi segenap ruangan.

 "Apalah yang kau risaukan tentang si Adi tu? Takut dia menjadi seperti kau?"

"Elokkah kalau dia menjadi seperti aku?

"Heh, apa yang salahnya? Kau kan kaya-raya sekarang."

"Kaya-raya itu satu hal.Aku..emm mahu dia jadi orang baik-baik."

 Raouf ketawa berdekah-dekah. Dekahan yang bercampur dengan asap sigar itu membuatkan Raouf terbatuk-batuk. "Kesian, muda-muda dah buang tebiat." Raouf ketawa semahu-mahunya.

 "Kenapa ketawa?? Salahkah seorang bapa mengharapkan yang terbaik buat anaknya? Anehkah itu?" 

"Tiada yang aneh tentang itu. Yang anehnya, kau sedar atau tidak kau itu siapa? Dah berapa tahun perniagaan ini kita bina. Tokan besar.Hehh, polis pun tak berani usik. Kau lupa?"

Man terdiam lantas menjawab."Aku tahu tu. Tapi kau juga perlu tahu bukan aku yang pilih jalan ini. Aku terdesak!

"Terdesak? Sebagaimana terdesaknya engkau membunuh Saliha kerana diupah ?"

 Man diam membisu. Sesal terasa bertimpa-timpa kerana memilih untuk berbincang dengan Raouf. 
  
 "Apa perlu kau ungkit kisah itu? Dah 17 tahun perkara itu berlalu. Adi juga sudah besar. Aku tidak membuang atau mengabaikan Adi. Bahkan hidupnya kini senang. Salahkah aku bersikap zalim? Aku buat kerana wang. Kerana ingin membesarkan Adi. Niat aku murni" Sepenuh perasaan Man meluahkan segalanya.

"Ha ha ha, niat tak menghalalkan cara. Gila. Kita yang mendesak diri sendiri untuk memilih jalan ini. Sudahlah, akui saja."

 Sepertinya Man sudah kehabisan kata untuk berbicara. Egonya tidak lagi mampu menguasai lidah untuk berpencak kata. Segalanya benar belaka. Man aneh dengan dirinya sendiri. Masalah ini pada perkiraannya tidaklah besar. Dia bukannya lelaki yang lemah diagah masalah. Semuanya telah Man lalui. Kali ini dia kalah kerana sayangkan Adi. Dia tak mahu Adi menjadi dirinya yang dulu mahupun sekarang. Adi..anaknya itu seharusnya memenuhi cita-citanya semasa kecil. Jadi orang mulia. Dia tidak berpeluang melakukan itu.

"Aku balik dulu, thanks." Raouf cuma memandang Man yang berlalu pergi. Dengan sigap, Raouf mencapai telefon bimbitnya. Punat panggilan ditekan. "Sekarang."

  Man berjalan ke arah keretanya. Aneh juga mengapa tadinya Raouf meminta dia memarkir kereta sedikit jauh dari rumah teresnya. Fikiran Man sudah cukup terganggu untuk bertanya lebih-lebih, jadi dia pilih untuk menghiraukan persoalan itu.

 Dia menghidupkan enjin. Serta-merta ruang keretanya dipenuhi asap.
"Eh apa ni?" Dadanya terasa sesak. Dari cermin belakang dia terlihat Adi. "Adi?" Matanya terasa kabur. Nadinya terhenti. Dalam masa kurang tiga minit, nyawa Man direnggut kepulan gas-gas hidrogen sulfida.

 Adi tersenyum puas. Dari belakang, Raouf ketawa menyeringai.
"Cepat benar kau buat kerja. Bagus." 
"Heh,biasalah uncle, bapa borek anak rintik." Jawab Adi.

 Raouf juga puas. Perniagaan juta-juta yang dikongsi dengan Man menjadi miliknya seorang. Raouf dan Adi berjalan bersama menuju ke rumah Raouf.

"Uncle tak rasa bersalah membunuh ayah ? Dia benar-benar mempercayai uncle. Uncle dah tipu dia."

"Heh, kau dengar sini ya Adi, hidup perlu menipu untuk hidup. Aku dah beri peluang untuk dia jadi kaya. Kini, masa aku untuk menikmati semua. Hah kau pulak ,tak rasa bersalah bunuh bapak sendiri?"

"Haha, untuk apa rasa bersalah? Dia bunuh ibu kandung saya. Membesarkan saya dengan wang yang jijik. Salahkah saya bersikap zalim?"

"Kau kental sungguh Adi. Kau tahu, aku ada semasa Man menembak Saliha. Aku jugalah yang menanam mayatnya. Eh, tapi aku tak bunuh dia. Man yang bunuh. Zalim ayah kau tu. Sanggup bunuh adik sendiri."

 Suasana sepi. Mereka telah tiba di rumah Raouf. Raouf membuka pagar rumah yang berkunci.

"Uncle?"

"Hah, kenapa? Baliklah.Tugas kau dah selesai. Duit aku dah bank-in."

"Uncle tak rasa diri uncle zalim?" 

Raouf terasa dingin. Dia memandang ke belakang. Matanya terbelalak.

"TAM!" Cuma satu das. Tepat dibidik ke jantung. Raouf rebah.

"Akhhh kau zalim!" Adi ketawa menyeringai. Kali ini dia benar-benar rasa seperti adiwira. Semua yang berlaku zalim terhadap dirinya telah mati.

  Cuma seorang masih terlepas, dirinya sendiri. Pistol diletakkan di kepala. "Zalim." Dia tersenyum. Picu ditarik..TAMM!!! 

Tembakan dilepaskan. Adi mati tanpa sesalan. Tiada seorang pun yang terlepas.


                   -TAMAT-


















Sunday, 7 April 2013

Balasan sajak "Jika"

Pada tangan-Nya,
Tergenggam seluruh rahsia perjalanan kita
setiap kerikil yang melukakan kaki
setiap kehangatan yang dilegakan titis hujan
telah ditentukan bukan sekadar ketentuan.


Benamkan kegagalan dalam ingatan
Jadikan tangkal menuju kejayaan
Teliti sifatnya segala segi
Agar yang pincang tak terulang kembali.


Hanya yang teguh terus berdiri
Hanya yang merenung disedarkan batin
Biar tersungkur kita bangun berlari
Bukti perwira sejati di jalan sendiri.


Tunggu,
jangan lelah dulu
Demi mentari yang menanti kita redahi
Gelita perjalanan ini yang masih jauh lagi.




Balasan sajak "Nikmat"

Ia adalah suatu cahaya
yang terbiasa karam dalam kelam jiwa seorang hamba
Bagai susunan jemari halus
ia menyentuh lembut tiap-tiap hati yang diserah seluruh.


Ia adalah kebinasaan
buat hamba setia matawang dunia
Juga sebuah permata
yang berbeza-beza harga antara kita.

Ia adalah kesyukuran
sebuah nikmat ditopang keredhaan
Atas banjaran kurnia yang dipersia
Dan segunung harapan yang dipinta-pinta
Renunglah kembali ke dalam jiwa
Berdustakah kita akan nikmatnya?

Balasan sajak "Merindu Buku"

Buku itu,
Pemula segala sesuatu
Dalam gelita tersuluh cahaya
Mrentas mega tujuh petala
"Bacalah"
Takdir teristimewa umat Baginda


Lalu kemana perginya sekalian kita
Bumi tak dijejaki kaki
Warga langit tak tergapai dek sukma
Andai buku tiada ditelusi
Andai baca kita hindari


Buku itu,
Pemula segala sesuatu
Pada perdu tuju sebuah buku
Kita temu sekeping kanta
Dunia dilihat sungguh berbeza


Pada baris aksaranya,
Tercetus anjakan mata fikir yang lena
Hal yang nyata menggigit saraf rasa
Bertongkatkan ilmu berdiri teguh
Papah-memapah sekalian kita
Bahu-membahu sekalian kita
Mencapai satu tuju yang serupa


Semuanya kerana buku,
Sebuah lembaran pemula segala sesuatu.

Balasan sajak "Seuntai Kata Untuk Dirasa"

Api membara menjulang tinggi
Masakan dada tidak terbakar
Degar suara berisi misi
Sepi membungkam terkubur sendiri.

Hasil datang bergolek tidak
Suara bergegar mengumpul tenaga
Falsafah arab menaut cita
Hasil berkunjung kerana usaha.

Bicara mengilham tenaga mega
Menyedar yang lena membangkit yang jaga
Menanti bunga memekar merah
Sedari pucuk harus dibaja.

Saturday, 2 March 2013

Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Bandaraya 2.0

Tiada yang aneh pada hari itu
cuma sebatang beringin tua yang terbunuh
tiada siapa yang berhenti 
tiada siapa yang meratapi
tiada gagak berhenti berkicau
tiada debu berhenti mengapung
di pinggir bandaraya itu.


Di pinggir bandaraya itu,
damai ialah kelabu
apungan debu-debu nan menyesakkan dada
bukan hijau
bukan beringin tua
Terik mentari ditabir pencakar angkasa
bukan rimbun dedaunan
bukan beringin tua.

Kala kemajuan adalah pembunuhan ciptaan Tuhan
yang maju adalah nafsu duniawi
gelas kosong..
yang tak akan penuh diisi.

Maka terbunuh jugalah beringin tua itu
demi sebuah kemajuan nafsu.





Friday, 1 March 2013

Pak Utih 3.0

Telah kubaca roman perih hidup Pak Utih
seorang lelaki tua di pinggir desa
Roman-roman serupa dengan mereka
yang direnggut hak-nya sekian lama.

Yang selesa berjemawa kerana emas dan harta
yang tidur beralaskan jasad rakyat biasa
khabarkan padaku wahai saudara
bila 'kan berakhir ini semua?

Demi kita, saudara
jangan kau meratkan roman Pak Utih dalam jiwamu
bangkitlah kita
untuk kita
demi kita.

Tuesday, 12 February 2013

Waktu.


Waktu

Dalam gopoh mencari tuju
Berlari aku berlari
Mengejar waktu yang kian laju..

Kemana arahku?           
Tiada kutahu.
Duka menggucuh meracun sukmawi
Kaki tetap.. kuhayun berlari.

Kemana arahku?
Ke selatan atau kembali ke timur?
Tiada kutahu.
Mataku pejam
Tapi kakiku masih
Berlari..
Berlari..
Berlari..
Hingga tersungkur.



Mata kucelikkan,siapa yang ada?
Kala ku tersungkur berdarah..
Siapa yang ada?
Kau dan dia
Juga mereka..

Tuhan,
Kau tidak pernah membiarkan aku dalam kenihilan
Yang mengnihilkan mereka adalah..aku.
Yang merelakan jiwa dihunus pisau waktu.






Saturday, 26 January 2013

Guru oh Guru 2.0

Jasa-jasamu pernah cuba kuhimpun,
ke atas kudongak lantas terduduk,
runduk,
pada manusia bukan biasa-biasa
yang kupanggil..
guru.

Guru,
Aku mahu jadi sepertimu!
yang detak nadinya mengiang-ngiangkan
detakan nadi impianku sendiri.

Aku mahu jadi sepertimu!
hiranya,
yang bersinar-sinar dalam cahaya,
menyuluh aku ke hadapan,
meninggalkan gelita kejahilan masa lalu.

Aku mahu jadi sepertimu!
yang akan selalu di situ
menitipkan pesan
agar warga langit tidak aku lupakan,
agar warga bumi tidak aku persiakan..

Dengan itu..
guru,
dalam doa namamu kujulang,
dengan tangan penuh debu,
kau kuangkat sama tinggi
dengan ayahanda..
juga bonda.









Friday, 18 January 2013

Kurang ajar 2.0

Hari ini aku kurang ajar pada langit
Aku tengking matahari di atas sana
Teriknya mengguyur peluh di muka
Aku letih,
Aku lelah.

Lalu langit menangis ,
api mentari terpadam habis
Dalam hujan aku tersedar..

Betapa katak menyanyi untuk hujan di langit,
hari ini aku..
menengking langit hingga menangis.

Sia-sia punya akal bisa belajar
Kerana pada langit hari ini aku kurang ajar.

Jiwa Hamba 2.0

Lemak,
Lemak dengan suapan yang tidak luak-luak ,
Dari sebelah sana dari sebelah sini ,
Baru mahu berdiri dikerat kaki duduk kembali.

Malaysiaku!
Lihat ke bawah pandang bumimu!
Tahun 2013 abad 21 
Masih yakinkah engkau ini tempatmu?

Benarkah jiwamu berperi seorang tuan
Benarkah sosokmu masih berjalan sebagai tuan
Atau kita kini kembali ke petak pertama,
Oleh bangsa sendiri..
kita diperhamba.
       

Thursday, 10 January 2013

Guru Oh Guru- Usman Awang

Berburu  ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi,



= Tanpa guru, ilmu yang kita ingin pelajari tidak mampu diperolehi dengan sepenuh pengajaran.

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum j
adi dewasa.


= Guru..adalah pemberi ilmu yang akan selalu ada untuk 

menyuluh kehidupan kita dan mematangkan kita dengan ilmu 
yang mereka miliki.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.




= Guru berperan dalam hidup kita dengan pelbagai watak 

yang signifikan . Kata-kata dan nasihat seorang guru 

mempunyai hikmah yang sehingga bila-bila juga dapat

digunakan.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri

berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


= Siapa juga seseorang itu hari ini, dari seorang penulis 

hingga seorang raja , pencetus kejayaannya adalah daripada 

seorang guru. Ini bererti , apa sahaja pangkat yang diperoleh 

seseorang itu , kedudukan seorang guru adalah lebih tinggi

dan wajar sekali dipandang tinggi.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara
.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,

 guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.


= Di mana-mana pun seseorang guru itu mengajar , ilmunya 

tetap tinggi dan semakin berliku jalan yang dilalui untuk 

mendidik anak bangsa , tugasnya makin bererti. 

Jasa dan budi seseorang guru akan sentiasa dikenang oleh 

anak-anak muridnya sehingga ke akhir hayat mereka.








Monday, 7 January 2013

Kurang ajar-Usman Awang



Sebuah perkataan yang paling ditakuti

 Untuk bangsa kita yang pemalu. 



Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
 
Kau harus menjadi manusia kurang ajar 

Untuk tidak mewarisi malu ayahmu


Lihat petani-petani yang kurang ajar 

Memiliki tanah dengan caranya 

Sebelumnya mereka tak punya apa
 
Kerana ajaran malu dari bangsanya.


 Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.




= Dalam sajak ini, Usman Awang sepertinya mengkritik bangsa kita

 yang terlalu takut untuk 'kurang ajar'yang bererti takut 

untuk mencabar diri dan mencetuskan provokasi yang berhemah untuk 

merealisasikan sesuatu . Juga kadangkala lebih suka bersenang-

senang dalam zon selesa dan tidak melakukan perubahan. Pada 

rangkap terakhir sajak ini , beliau memberi pandangan yang 

membawa erti bangsa kita ini , tidak akan membangun dan maju 

tanpa sikap 'kurang ajar' seperti yang telah dinyatakan.



Saturday, 5 January 2013

Sajak- Pak Utih ( Usman Awang)



                                     I   
Punya satu isteri mau dakap sampai mati,

Lima anak mau makan setiap hari ,

Teratak tua digayuti cerita pusaka,

Sebidang tanah tandus untuk huma.

Kulit tangan tegang berbelulang,

Biasa mengeluarkan peluh berapa saja,

O Pak Utih , petani yang berjasa.


Tapi malaria senang menjenguk mereka,

Meski dalam sembahyang doa berjuta ,

Dan Mak Utih panggil dukun kampung,

Lalu jampi mantera serapah berulang-ulang


Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang ,

Wang dan ayam dara diikat bersilang
    
=  Penulis memulakan sajak ini dengan cerita seorang petani bernama Pak Utih yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Pak Utih adalah simbol golongan rakyat marhaen yang tinggal di desa.Pak Utih dan keluarganya hidup dalam keadaan serba kekampungan serta melarat.
                                        
                                II

Di kota pemimpin berteriak-teriak ,

Pilihanraya dan kemerdekaan rakyat ,

Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat ,

Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.

Ketika kemenangan bersinar gemilang ,

Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka,

Ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,
Ayam panggang yang enak di depan,Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.



Pak Utih masih menanti dengan doa,Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?

         
= Pada rangkap kedua penulis menggambarkan golongan elitis yang terdiri daripada para pemimpin. Mereka menaburkan janji-janji manis kepada rakyat untuk memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya. Setelah menang , mereka disanjung rakyat yang dahulunya telah dijanjikan kesenangan dan kemakmuran . Ironinya , setelah kemenangan mereka , golongan rakyat marhaen dari desa seperti Pak Utih masih lagi melarat dan golongan pemimpin terus menikmati hasil daripada kemenangan mereka .